Ketahuilah, doktor yang menghubungkan dirinya dengan Allah SWT, mempunyai medan yang sangat luas dalam berbakti kepada Islam itu sendiri.
Doktor, Tidak perlu mencari pesakit
Doktor sentiasa menjadi tempat rujukan. Sangatlah jarang perlu ada doktor yang melaung: “Siapa sakit, mari datang hospital saya”
Tetapi kebanyakan
doktor, didatangi pesakit tanpa perlu dia memanggilnya. Saban hari, ada
sahaja orang berjumpa dengan doktor. Tidak terkira banyaknya kalau mahu
dihitung.
Inilah dia medan
seorang doktor. Berkomunikasi dengan manusia, dan tidak perlu bersusah
payah mencari mereka. Doktor didatangi, dijadikan tempat rujukan untuk
perubatan, tempat meminta nasihat untuk kesihatan dalam kehidupan dan
sebagainya.
Tidakkah anda melihat, betapa doktor adalah seorang yang mempunyai peluang yang banyak?
Tetapi doktor manakah yang menggunakan peluang ini untuk menyebarkan Islam?
Doktor, penyambung harapan kepada Allah
Saya ada satu kisah. Kisah benar
seorang sahabat saya. Dia pada awalnya adalah seorang yang tidak
matang. Sudah tingkatan lima tetapi perangai masih hingusan seperti
kanak-kanak.
Satu hari, Allah SWT menguji
sahabat saya ini dengan satu penyakit kronik yang boleh membawanya
kepada kematian. Sampai satu tahap, dia ditahan di wad. Tetapi
kemudian, Allah SWT menyusun dia sihat semula, dan kembali belajar
seperti biasa. Tetapi ada sesuatu yang aneh telah berlaku kepadanya.
Dia menjadi sangat
soleh, kemas, matang, dan kata-katanya juga menjadi lembut. Kelihatan
selepas itu dia menjadi hamba Allah yang taat, dan ramai orang mula
menghormatinya. Hatta saya sendiri terkejut dengan perubahannya.
Saya bertanya: “Apa dah jadi dengan enta?” Dan dia bercerita:
Rupanya, ketika dia
di tahap yang kritikal dan dikatakan tidak mempunyai harapan lagi, dia
sudah berputus asa. Dia kecewa dengan nasibnya. Dia ketika itu sudah
tidak berharap lagi apa-apa. Yang dia nampak pada kehidupannya hanyalah
kehancuran, kehancuran, kehancuran. Dia menangis banyak dalam putus
asanya, bertanya dan bertanya kenapa nasibnya sedemikian rupa.
Ketika itulah,
datang seorang doktor, dan menasihatinya: “Semua susunan Allah ada
hikmahnya. Allah yang beri penyakit ni. Sembuhnya juga ada pada Allah.
Jadi, apa kata masa yang ada ini kamu merapatkan diri kepada-Nya? Biar
kalau kamu pergi, pergi dalam keadaan bersih bertemu dengan-Nya”
Dan sahabat saya
bercerita: “Ketika itu, ana macam tersedar. Lepas tu ana mula pergi
surau di hospital. Ana habiskan banyak masa malam ana berdoa dan
bermohon kepada Allah. Bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya. Ana
betul-betul harap, kalau ana mati pun, biar ana mati dalam keadaan
bersih”
Tapi Allah menyembuhkannya. Dan dia berubah menjadi seorang yang lain.
Penangan nasihat seorang doktor yang faham akan pergantungan kepada Allah SWT.
Tidakkah anda memerhatikan?
Perhatikan apa yang doktor itu telah lakukan?
Dan sahabat saya itu, sehingga hari ini berkata: “Ana ni, hutang dengan doktor tu jasa yang besar”
Ya. Jasa
merapatkannya dengan Allah SWT. Saat harapan-harapan lain telah
terputus, saat-saat kata manis dari keluarga, sahabat handai tak mampu
menyembuh, pergantungan kepada Allah Yang Maha Berkuasa Atas
Segala-galanya itulah juga yang utuh dan tetap teguh.
Tidakkah kita memerhatikan?
Maka menjadi tanggungjawab seorang doktor mempersiapkan dirinya
Maka adalah satu amanah, seorang
doktor muslim lagi mu’min, mempersiapkan dirinya dengan syakhsiah serta
hubungan kepada Allah SWT. Tidak mengetahui ilmu usuluddin pada tahap
yang tertinggi, atau ilmu fiqh pada tahap yang tertinggi tidak mengapa.
Asal tahu perkara asas untuk terus hidup sebagai orang mu’min sudah
mencukupi.
Tetapi tidak dapat
tidak, seorang doktor perlulah mempunyai akhlak, peribadi yang cantik,
serta hubungan dengan Allah SWT yang bersih. Untuk apa? Untuk mengajak
pesakit-pesakit yang berjumpa dengannya, yang berada di sekelilingnya,
kembali kepada Allah SWT.
Doktor, medan mereka sangat luas. Orang datang kepada mereka tanpa mereka perlu mencari.
Maka kenapa para doktor tidak melihat ini sebagai peluang mereka beramal?
Penutup: Menjadi doktor itu sendiri satu ibadah
Sesiapa yang memagari ‘ibadah’ itu di pagar masjid sahaja, maka dia telah menyempitkan keluasan Islam itu sendiri.
Menjadi doktor itu
sendiri satu ibadah, sekiranya diiringi ikhlas dan tidak melanggar
batasan syara’. Ditambah pula dengan menyambung harapan mereka yang
telah berputus asa kepada Allah SWT. Ditambah dengan menunjukkan
syakhsiah yang baik, akhlak yang terpuji dan sentiasa mengembalikan
pesakit kepada Allah SWT, ternyata ia satu kerjaya yang sangat cantik
dalam medan dakwah kepada Allah SWT.
Sungguh, sahabat saya tadi juga berkata: “Ana kalau tahu doktor boleh buat macam tu, ana ambil kelas sains dari dulu lagi”
Sesungguhnya, segala
apa kerja pun, sekiranya kita isi dengan keikhlasan dan ianya tidak
terkeluar daripada syara’ yang Allah tetapkan, maka ianya adalah satu
ibadah.
Maka kenapa kita
tidak jadikan kerjaya-kerjaya kita satu wasilah, jalan, untuk membawa
seramai boleh manusia untuk kembali kepada Allah SWT?
Jika tidak boleh
dengan bercakap panjang pun, dengan kata-kata pendek sudah mencukupi.
Dan semestinya kata-kata itu akan menjadi sangat berkesan sekiranya
diiringi dengan akhlak dan syakhsiah yang cantik.
No comments:
Post a Comment